Wednesday, August 17

Puasa dan Raya zaman dulu seronok sebab...

 
1. Boleh main mercun sesuka hati mak nenek, tak payah fikir pasal jari putus, tangan putus, kepala putus. Yang peliknya, budak dulu ok je tak putus-putus pun. Selamat je, mak pak tak joing sesama main. Main dengan kawan-kawan je...happy je. Kalau balik kampung, pakcik beli mercun macam beli baju...banyak gila. Lepas tu main time orang solat terawikh, lepas tu abah ngan arwah atok mesti jeling-jeling sebab asal orang start solat je, kami pun start pasang mercun keboom keboom...hehehehehe. Tak cukup dengan tu, bila main bunga api cap kucing, pasang banyak-banyak letak kat pokok kaktus beso arwah atok kat tepi parit tu. Esok pagi banyak le lidi2 besi kat pokok tu, merana pokok tu, atok geleng2 kepala je, cucu2 balik pun sekali sekala, nak marah pun tak sampai hati.

2. Tolong mak buat biskut. Mak akan buat biskut banyak-banyak, satu untuk opah, satu lagi untuk wah, satu lagi untuk makcik sinun, satu lagi pulak untuk makcik sinin. Macam-macam jenis. macam-macam kaler. Lepas tu susun dalam tin milo, takde nya bekas2 lutsinar plastik macam hak sekarang. Masa mak buat, kalau hak yang kecik2 belum baligh ni akan merasa kuih ni dulu, yang hak dah akil baligh ni angin je tengok budak2 kecik ni makan, nak sekeh je...

3. bila waktu berbuka. Pukul 5 dah start dok kat meja. Dok kira lauk, dok kira jam, minit, saat. Bila waktu nak dekat azan, lagi 10 minit gitu. Dah start dah ambik segala kuih yang ada. Mesti ambik banyak, sebab lapo, tamak haloba. Bekas ayo pun tinggi je, takut tak cukup. Mesti kena marah dengan mak sebab tamak nanti tak abes. Segala macam ayo ada pulak tu. Mesti ada cincau, tebu. Ada kuih manis, ada kuih goreng...

4. bila mak nak solat terawikh, sebok sama nak solat terawikh. Lepas tu kena luku dengan tok imam sebab bising memekak. Tapi mak tak marah pun tok imam tu, mak buat2 tak tahu je, dia buat macam bukan anak dia je masa tu. Bila orang dah solat, belum lagi orang tu abes solat witir, dah dok sebok nak makan moreh, sekali kena jeling dengan makcik2 yang tengah 'coti' kat tepi-tepi tu....

5. mak akan buat kueh, kalau buat kueh karipap, masa nak berbuka nanti mesti ada kueh keria, kueh cara, kueh gado-gado...kueh tu macam beranak, buat satu kueh sekali dia punya beranak sampai 4-5 6 jenis kueh...

6. bila mak nak beli baju raya, mesti pepagi dah siap2 sebab mak nak bawak pergi Globe. Naik bas mini kuning yang konduktor dia bagi tiket. Bas ni bawak laju ya amat tapi elok je tak xsiden pun. Selalu duduk kat depan sekali, sebab mak kata senang nak turun. Bila shopping, mak lupa dunia kejap, dia mesti pergi Globe lepas tu Mun Loong lepas tu ntah mana lagi lepas tu, Globe balik...rasanya ulang-ulang kat situ gak. Last-last beli kat Globe je...

7. bila dapat duit raya, bersusun beratur. Rasa macam dapat emas!...lepas tu kira-kira, lepas tu gaduh sebab orang yang itu dapat banyak, lebih seringgit ke...lepas tu nangges, mintak kat mak abah. Lepas tu mestilah kena marah...kaco mak layan tetamu datang raya. Duit raya pun setakat 50sen, 20 sen je...kalau seringgit tu, rasa beso sangat nilai dia...paling banyak pun dapat 20 henget jumlah semuanya. Seronok sangat sebab lepas tu pergi kedai sen-seng beli tikam, takpun beli guli ,main judi bawah rumah Opah. Takpun pergi beli ayo kikapo. Berbotol2 sampai perut buncit.

8. masa hari raya, pepagi dah kena bangun. Bilik ayo satu. nak kena beratur macam citer P Ramlee tapi kuasa veto arwah tok. Kalau atok nak masuk, orang lain kena bagi laluan, Agong nak masuk bilik ayo. kadang-kadang kena memerut kat luo, dalam longkang/parit sebab bilik ayo penuh. Budak-budak lak mandi 5-6 orang sekali. Satu gayung sampai 5-6 orang kongsi. Pakai sabun popi burung ijo tu...jap2 mesti termasuk dalam longkang. Kena le ambik, nak sabun badan balik.

9. malam raya adalah malam paling best sebab rumah atok belah abah ngan rumah opah belah mak, dekat je, sepuluh kali ulang alik pun takpe. Sempat je berbuka kat rumah opah, solat maghrib rumah atok, main mercun rumah atok, solat terawikh rumah opah balik....tidur tengah2 tak tahu nak tido mana, tengok sepupu sepapat yang mana paling best masa tu. Kekadang-kadang mak abah tidur sinun, kami tidur kat sinin...gitu la selalu.

10. kumpul adik beradik belah mak belah abah....bila masak, guna periuk beso. Tak cukup2 makan. Baru je abis makan, mak ngan makcik2 kena fikir lak apa nak makan untuk yang seterusnya. Bentang seperah panjangnya dari pintu depan sampai ler dapur...masa makan jangan cakap lah. Macam2 bunyi ada...basuh pinggan mangkuk mesti kat luo, sebab sinki tak muat. Masa ni ayam wah bela mesti tak tahu kat mana, dia nyorok takut kena sembelih. Lepas raya, wah kata mesti dia balik reban dia...

Seronok tak seronoknya raya zaman dulu....kan kan kan









Salam
Ibu Muhsina


Tuesday, August 9

Pada yang satu...

Ada satu ketika, semasa beriktikaf di MasjidilHaram, disebelahku ada seorang warga Afrika. Sudah tentunya seorang muslimah. Setelah lama duduk berteleku, dia mencuit diriku.

"Do you speaks English?"
"Yes" kataku, agak seronok bila ada teman yang boleh berbicara. Sungguh kadang-kadang mengantuk bila berhelai-helai membaca Al-Quran. Tekak pun agak kering. Kalau diminum air zam-zam yang ada disebelah, kena pula ke tandas yang jauh diluar.


"Where are you from?"
"Malaysia"
"Am from Afrika"...dia menghulurkan tangan.


Dari situ, bermulalah satu perbicaraan yang agak unik. Dia banyak membicarakan tentang ketuhanan dan keimanan. Menurutya, dia datang bersama dengan seorang perempuan yang dikenali semasa mahu ke Tanah Suci. Aku tidak pula bertanya tentang mahramnya, bagiku mungkin ia agak personal. Dia bercerita tentang negaranya, tentang kehidupannya yang agak urban dan juga tentang Cape Town, tempat tinggalnya. Aku dapat mengagak dia agak 'educated' kerana dari segi pelontaran bahasa dan gaya.

Aku banyak mendiamkan diri, kerana aku lebih senang mendengar dia bercakap. Lagipun bahasa englishku bukanlah sehebatnya. Malu. :)
Tiba-tiba dia bertanya...

"What do you feel when you first step to Haram?"

Terkedu. Apa aku rasa?

Sesungguhnya apa aku rasa memang sukar untuk digambarkan. Hanya Allah yang mengetahui pada saat aku melihat Kaabah, hanya Allah yang mengetahui juraian air mata kesyukuran yang jatuh pada pertama kali aku melihat rumah-NYA...Demi Allah! Ia adalah pandangan yang terindah....yang menusuk jiwa sekelian umat yang ada.

"Sister...you know how you feel when your first step to Haram. Speechless. But then, there is something else that make me feels the beauty of Islam. You are from Afrika, while i'm from Malaysia. If you see around you, you'll see different kind of people, you have black, white, yellow(aku menunjuk kepada cina muslim dihujung sana, dia tersenyum), and me brown in color(Dia tergelak besar). And these people talk in different kind of languages. Have different ways of clothing"**

"But then sister, when we pray. we pray exactly the same. When imam rukuk, all of us rukuk. When imam sujud, all of us sujud. When imam finish his fatihah, all of us said 'Ameen' together. Not even one said differently. We followed iman nontheless who you are. And we pray to only ONE, Allah swt. Allah The Greatest. Allah the Merciful. That's the beauty of Islam I see"**

Dia lantas memelukku sambil berkata 'MasyaAllah, MasyaAllah'. Aku melihat dia berlinang air mata...

Sesungguhnya itulah pengalaman paling bermakna bagi diriku. Sesungguhnya di MasjidilHaram, dengan pelbagai bentuk manusia, dengan pelbagai warna dan gaya....kita umat islam adalah satu. Kita umat islam sujud hanya pada yang SATU...ALLAH YANG MAHA BESAR.

Salam
Ibu Muhsina

**English yg agak terabur...dan agak tidak profesional

Saturday, August 6

Onde-onde




Kisah benar

Ada seorang perempuan yang baru berkahwin, tinggal bersama ibu mertuanya. Dah duduk dengan mak mertua, konpem tak reti masak. Mak mertua masak sedap kan...

Tetiba, mak mertua satu hari pergi cuti-cuti....jejalan dengan anaknya. Jadi tinggallah dua pengantin nak kata baru, tak jugak tapi belum ada anak la masa tu, jadi baru suam-suam kuku.

Dijadikan cerita, si isteri nak buat onde-onde, tengok-tengok ada gula Melaka. Si suami pula nak rasa air tangan isteri tercinta tadi.

Buatlah si isteri tadi, mengolek-golek tepung, letak buah melaka. Didihkan air dan clup! Masuk dalam air didih....so si isteri pun tunggu lah onde-ondenya timbul. 5minit, 10 minit....aik! Setengah jam...asal tak timbul-timbul ni...

Tik tik tik

"hello mak, asal na buat onde2 ni tak timbul pun?"
"aik! Nape pulak? Pakai tepung apa?"
"tepung yg mak cakap tu le....tepung apa ntah tu"
"te cuba check tengok tepung apa"

Lari-lari anak la si isteri nan comel itu...mengechek tepung...

"betul la mak....saya guna TEPUNG UBI ha!"




Dalam kuih ada air

Ok...sapa terrer, ini kuih apa? tanya ibu pada along, angah dan achik

Along : kuih kelapa

Angah : kuih bulat-bulat

Achik : kuih dalam ada air

Hahahahaha....memang teruk la, kuih tradisional tak kenal. Mana nak kenal kan? Ibu tak pernah pun ambik inisiatif untuk membuatnya. Sabtu lepas terasa teringin pulak nak buat, jadi ibu pun dapatkan pekhidmatan mr google....

Kuih apa yek? Dalam kuih ada air..


Salam
Ibu muhsina

- Posted using BlogPress from my iPad

Friday, August 5

Bila manusia berpaksikan Syaitan!

Astagfirullahhalazim....
Astagfirullahhalazim....
Bertaubatlah....
"Ya Allah...ampunkan dosa-dosa kami..."
"Ampunkan dosa-dosa kami..."
"Peliharakanlah iman keturunankan kami.."
"Jauhkan kami dari malapetaka dunia, Ya Allah"
"PadaMU sahaja kami berserah dan berlindung"


Bayi Putus Kepala Ditarik Ibu!!

MELAKA: Panik apabila bayi luar nikah yang dilahirkannya berada dalam kedudukan songsang, seorang wanita nekad menarik kaki bayi itu sehingga menyebabkan bahagian kepalanya terputus.
   Kejadian itu menyebabkan wanita terbabit yang berusia 24 tahun bertambah panik lalu membuang mayat bayi baru dilahirkannya ke dalam tong sampah di  tingkat bawah rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Sri Lanang, dekat sini.

  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 6 petang Selasa lalu ketika wanita terbabit yang hamil enam bulan melahirkan bayinya bersendirian.

  Menurutnya, selepas mengalami pendarahan akibat melahirkan bayi perempuan tidak cukup bulan seorang diri, wanita terbabit kemudian menghubungi ibunya.

  “Ibunya kemudian membawa wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka jam 9 malam hari sama. Ketika menerima rawatan, doktor mendapati dia baru bersalin dan mengesyaki ada yang tidak kena lalu terus membuat laporan polis,” katanya. -HM-

Ibu tak dapat bayangkan walau sedetik macam mana, bagaimana si ibu ini dapat melakukannya. Ibu juga tak dapat bayangkan macam mana, bagaimana rasa si bayi yang sudah bernyawa, sudah berdengup jantungnya, sudah mendengar melalui semua ini...

Ibu tak dapat terima dengan logik akal ibu...
 
Salam
Ibu Muhsina ;,(

Wednesday, July 20

Dalam hati ada taman...

FLORIA 2011


IMG_0128
Memang shantek!!

IMG_0149
Along dan bunga

IMG_0159
Unik

IMG_0160
Apakah? Bunganya ciput je encek....where's the flower?

IMG_0154
something different...shantek dan wangi tapi hari ke- 7 hancus dah....

IMG_0148
shantek!!

IMG_0162
i dun remember when i took this pic

IMG_0126
muhsinas and flower...kak chik, senyum sikit boleh dak?

IMG_0130
err...tak ingat la bila ambik ini gambar



buai laju-laju
sampai pokok sena
beli apa tu, ibu?
apa lagi kalau tak pokok bunga

Buai laju-laju
sambil makan lada
gaji dah dapat ke ibu?
haish! manakan ada

Buai laju-laju
sampai pokok sukun
tahun depan datang lagi tak ibu?
mesti, wajib tiap-tiap tahun

Salam
Ibu Muhsina

Tuesday, July 19

Keropok dan mereka

Kalau ke pantai timur, tak sah kalau tak beli keropok...spesifiknya keropok lekor. Apa yang best dengan keropok lekor ni? Keropok lekor ni lain sikit dari keropok-keropok kering yang biasa tu. Keropok lekor dibuat dari isi ikan yang banyak, tepung, garam, kemudian di bulat-bulat dan dilorek panjang. Selepas tu, direbus. Itu saja yang Ibu tahu. Kalau ada yang tertinggal atau ada yang teringin nak buat bisnes kopok lekor, takyah la refer pada blog ni, guna Mr Google untuk resepi Kopok Lekor.

Itu mukadimah, sebenarnya entry khas buat muhsinas yang kalau jumpa kopok lekor macam jumpa Emas Permata Belian. Punyalah suka, terutamanya bila panas-panas...

IMG-20110612-00018
Kalau ikutkan penuh ni...dah gone within a second

IMG-20110612-00021
Budak yang gembira setiap kali ada pesta makan

IMG-20110612-00019
Wajah-wajah gembira yang menyejukkan hati bila melihatnya

IMG-20110612-00017

Salam,
Ibu Muhsina

Monday, July 11

Seminar Kesedaran Keselamatan Diri Untuk Anak-anak Remaja Perempuan dan Ibu

Kepada sesiapa yang berminat...dapat dari emel, macam berminat je nak pergi dengan Along..
_________________________________________________________


Dewasa ini terlalu banyak kes jenayah berlaku di mana- mana tanpa mengira tempat dan masa. Mangsanya pula tanpa mengira usia, bangsa dan agama, malah ada kalanya berlaku kepada kanak-kanak dan orang-orang yang tidak berdosa. Kes ragut, rompak, rogol, bunuh dan sebagainya semakin banyak berlaku di sekeliling kita.

Sehubungan dengan itu, kami di The Little Khalifah Shop terpanggil untuk mengadakan seminar tentang kesedaran keselamatan diri untuk anak-anak remaja perempuan bersama ibu mereka. Seminar ini akan mengupas isu-isu jenayah yang biasa berlaku di kalangan anak-anak remaja perempuan dan juga wanita dewasa.

Di samping itu teknik-teknik dan tips-tips mejaga keselamatan diri dan mempertahankan diri dari serangan penjenayah turut dikongsi oleh penceramah. Tanpa melupakan perkongsian menurut pandangan Islam, kami juga membawakan satu slot yang mengupas isu ini dari sudut pandangan agama. Berikut adalah maklumat berkenaan seminar ini.

Seminar Kesedaran Keselamatan Diri Untuk Anak-anak Remaja Perempuan dan Ibu

Hari/Tarikh:Ahad, 24hb Julai 2011
Masa: 8.30 pagi – 12.30 tengah hari
Tempat: Auditorium A, Bangunan Engineering, UIA Gombak.

Yuran: RM 80.00 untuk setiap peserta (perempuan sahaja)

Penyertaan dan pembayaran perlu di buat selewat-lewatnya 19 Julai 2011.
Tel no : 03 - 4147 2626
Call this number kalau nak borang penyertaan. Susah nak masukkan ke dalam blog (actually ibu tak pandai la nak buat macam mana)

Tempat adalah terhad kepada 100 orang peserta yang berumur 10 tahun ke atas. Penceramah yang diundang ialah Dr Kamal Afendi Hashim, Penganalisis Jenayah yang sering muncul di kaca TV dan radio dan media-media lain yang bual bicaranya sering mengingatkan kita dan memberi kita informasi berguna berkaitan kes-kes jenayah.

Manakala untuk slot Sayangi Diri, Cintai Diri” kami mengundang Ustazah Ros Izanuri Jamaludin yang akan bercakap tentang pentingnya kita menjaga diri kita dari sudut pandangan Islam. Turut dikongsi bersama adalah doa pelindung diri sebagai benteng keselamatan diri teruatamanya apabila kita melangkah keluar dari rumah.

Sehubungan dengan ini, pihak kami di The Little Khalifah Shop amat berbesar hati untuk menjemput orang ramai untuk menyertai seminar yang kami anjurkan ini. Anda juga dijemput untuk menyertai kami di Facebook di group The Little Khalifah Shop. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi alamat ataupun nombor telefon yang tertera di bawah:

The Little Khalifah Shop
No 2750A, Jalan Changkat Permata
Taman Permata
Ulu Klang
53300 Kuala Lumpur
Tel: 03-41472626 Faks: 03-41471543
Web : http://www.littlekhalifahshop.com


Salam
Ibu Muhsina