Tuesday, November 8

Perjalanan : Catatan Mabit di Muzdalifah

Mabit di Muzdalifah

Malam itu, selesai solat jamak tamam maghrib isyak, kami menunggu giliran untuk mabit di Muzdalifah. Giliran mengikut aras tempat bilik kami di Mekkah. Malangnya ramai jemaah yang seolah-olah kurang sabar terus berebut-rebut untuk menaiki bas. Agak mencabar juga keadaan dan suasana semasa itu. Lupa agaknya jemaah-jemaah yang urusan haji masih belum selesai, jemaah masih dalam berihram.

Aku berpesan pada suami, memandangkan kami muda, biarlah yang berumur pergi dahulu, biarlah kami kemudian. Tiba giliran aras tingkat kami, kami berdua menaiki bas menuju ke Muzdalifah. Baru aku perasan, keadaan di Arafah sudah menjadi padang jarak padang terkukur, Semua jemaah-jemaah dari Negara lain juga jemaah Muassassah Malaysia telahpun meninggalkan bumi Arafah.

Perjalanan ke Muzdalifah tidaklah jauh, dalam 10-15 minit sahaja. Alhamdulilah perjalanan kami berjalan lancar, sepanjang perjalanan kami bertalbiah, mengagung-agungkan kebesaran Allah. Peristiwa di Arafah sebentar tadi amat menusuk jiwaku tambahan pula bila suami memberitahu jemaah lelaki tidak nampak pun apa yang kami jemaah wanita nampak. SubhanaAllah, padahal kedudukan khemah jemaah lelaki hanya sejengkal sahaja dari kami, betul-betul di hadapan tempat kami makan tengahari.

Sesampai di Muzdalifah, jemaah sudahpun memenuhi tempat-tempat yang disediakan. Memang agak sukar untuk mencari tempat di Maktab 81 memandangkan tempat adalah terhad tambahan pula terdapat juga jemaah-jemaah dari Maktab 80 dan maktab 82 yang menumpang sama di sekitar Maktab kami. Tetapi kesian juga pada jemaah Maktab 80 sebab tempat mereka berbukit mungkin sebab itulah mereka terpaksa 'melepak' di tempat kami.

Pada mulanya kami mendapat tempat dicelah-celah jemaah yang lain, kemudian kedengaran rayuan dari Tabung Haji merayu para jemaah supaya ke dalam sedikit supaya rakan-rakan yang belum sampai boleh masuk ke dalam kawasan mabit. Kawasan mabit di Mudzalidah adalah seolah-seolah padang yang besar, bukan padang rumput tapi padang berbatu, berpasir. Cuma Muassassah Mekkah membentangkan tikar plastik yang besar untuk keselesaan para jemaah memandangkan mabit di Muzdalifah hanyalah sementara sebelum ke Mina. Untuk pengetahuan semua, mabit di Muzdalifah pada masa aku disana adalah bermula dari pukul 11.33 tengahmalam, jadinya selepas pukul 11.33 pm bolehlah para jemaah berangkat ke Mina. Waktu mabit akan berubah-berubah mengikut keadaan musim haji, aku kurang pengetahuan atas pengiraan apa. Tapi kata Umi kami perlu mabit di Muzdalifah pukul 11.33pm, selepas itu kami akan berangkat ke Mina.

Atas rayuan Tabung Haji supaya para jemaah tidak duduk berkumpul di tepi jalan masuk kawasan mabit Maktab 81, aku memujuk suami supaya kami masuk ke dalam sedikit. Mungkin rezeki kami, kami dapat tempat yang agak lapang. Amat selesa cumanya kami duduk betul-betul di puncak kawasan bukit jadi bila kami baring berehat, kaki kami akan berjuntai ke bawah. Tak kisahlah, yang penting kami dapat tempat yang selesa. Sedang kami duduk membaca doa dan berzikir, Angah dan ahli keluarganya datang berkumpul sama, mungkin mereka lihat tempat kami agak selesa dan tidak berhimpi-himpit.

Kemudian kami pergi mengutip batu ramai-ramai di lereng bukit di bawah tempat kami me'lepak'. Seperti kanak-kanak kami duduk mengutil-kutil batu yang berkenan di hati. Ada tiga jamrah yang perlu dilontar di Mina, Jamrah Ula, Wusta dan Aqabah. Setiap jamrah 7 biji batu, manakala untuk melepaskan ihram, kami perlu melontar di Aqabah pada malam hari pertama Tasyrik, sebelum melontar ketiga-tiga jamrah pada hari seterusnya. Jadinya semua sekali 7 X 3 = 21 x 3 = 63 + 7 biji = 70 biji batu yang harus dikutip. Untuk lebih afdal, lebih elok mengutip sekurang-kurangnya 80 - 90 biji batu. Batu yang dipilih kena betul-betul batu, bukan batu simen, bukan tahi kambing, bukan besar dan bukan terlalu kecil, batu yang dipilih kena betul-betul batu, agak payah nak menerangkan di sini rupa bentuk batu berkenaan.

 Hamparan manusia yang mengutip batu


Seronok juga dengan aktiviti mengutip batu, aku lihat terbongkok-bongkok manusia dari segenap lapisan mengutip batu, riuh. Dengan torchlight ditangan dan uncang kecil aku duduk terbongkok-bongkok mengutip batu. Di Muzdalifah, terdapat juga lampu besar seperti di padang bola tapinya kalau dengan torchlight lagi mudah untuk mengenaplasti jenis-jenis batu yang dikutip. Suasana pada masa itu amat jarang dilihat. Semuanya berwarna putih, semuanya patuh dengan syarat dan kehendak Allah Taala. Itulah yang mengagumkan.





Mengutip batu di sana walaupun badan letih

Setelah mengutip batu, badan yang sememangnya agak kurang tidur dan rehat terasa sakit-sakit. Aku lihat ramai jemaah perempuan yang hanya duduk berehat disekelilingku. Manakala aku mengambil kesempatan untuk berbaring.

Jam ditangan sudahpun pukul 11.33pm, Ustazah Umi bermundar-mandir mengingatkan jemaah yang waktu mabit sudah ada, jadi bersiap-siaplah untuk ke Mina. Tetapi malangnya sehingga pukul 12.00 tengahmalam tidak ada sebuah bas pun yang datang mengambil kami di Maktab 81. Kebanyakan bas hanya pergi ke maktab-maktab yang lain. Memandangkan aku malas nak berhimpit-himpit dan bersesak-sesak menaiki bas ke Mina, jadi kami suami isteri mengambil kesempatan itu untuk sambung tidur lagi. Tidur yang sangat lena bagiku. Aku rasa amat tenang dan damai tidur di Muzdalifah walaupun hanya beralaskan tikat mengkuang TM berwarna biru (terima kasih TM) dan beratapkan langit. Tapi amat seronok, lena selena-lenanya. Tidak terlintas pun pada masa itu teringatkan katil di Mekkah atau tilam empuk di KL. Bagiku tidur di Muzdalifah beratapkan langit adalah yang paling seronok. Tidur tanpa gangguan walaupun kurang selesa, walaupun kaki orang sebelah betul-betul di depan muka.

Jam sudahpun pukul 1.00 pagi tapi jemaah-jemaah masih ramai bersesak seperti tadi, kedengaran suara-suara rungutan tidak puashati para jemaah. Aku lihat suami sudah bangun dan berjalan-jalan, bila aku tanya kenapa, katanya sejuk, kakinya sudah kebas. Ya, memang sejuk, sejuk hingga ke tulang, bayangkan aku yang memakai baju 2 lapis, memakai telekung, berstokin, bersarung tangan kemudian memakai pula baju sejuk, masih terasa sejuknya, inikan pula jemaah lelaki yang hanya berkain ihram. Kesian. Tapi apakan daya, aku hanya boleh melihat sahaja suamiku mengigil-gigil kesejukan.

Pukul 3.00 pagi, ramai para jemaah yang sudah resah gelisah. Tetapi bas masih tidak nampak bayang lagi di Maktab kami. Aku bangun untuk membersihkan diri memandangkan solat subuh tinggal sejam setengah lagi. Keadaan tandas tidaklah seteruk yang pernah diceritakan. Biasalah bila dah ramai, tapi boleh lah digunakan. Tidaklah pula beratur panjang. Selesai berhajat dan mengambil wudhuk, aku duduk menunggu solat subuh. Bukannya apa, dengan keadaan jemaah yang masih bersesak agak mustahil untuk ke Mina sebelum subuh. Jadi baik aku siap-siap untuk solat subuh di Muzdalifah. Tambahan pula, banyak fadhilatnya kalau dapat bersolat subuh di Muzdalifah. Ikut sunnah Nabi Muhammad saw.

Pukul 4.30 pagi, para jemaah sudahpun mula meninggalkan Muzdalifah. Tetapi ada juga para jemaah yang solat subuh berjemaah di Muzdalifah termasuk aku dan suami. Walaupun antara dengar tak dengar suara imam, cuma mengharapkan orang sekeliling sahaja tapi alhamdulilah hajat bersolat subuh mengikut sunnah tercapai juga. Malah semasa bersalam-salam dengan Ustazah Azuhra, beliau berkata sepanjang berkhidmat menguruskan jemaah Haji selama 25 tahun, inilah pertama kali beliau dapat bersolat subuh di Muzdalifah. SubhanaAllah….

Sambungan : Catatan Mina


Salam
Ibu Muhsina


No comments:

Post a Comment