Monday, November 7

Catatan 'Perjalanan Haji 2008'

Semasa menunaikan Haji tahun 2008, ibu memang ada buku catatan setiap hari selama 46 hari ibu di Madinah dan Mekkah. Setiap hari ibu catat, tiada yang tinggal, bergaduh light-light dengan abah muhsina pun ada tercatat.

Sepulang ibu dari menunaikan haji, ibu ada menulis di laman forum Universiti ibu. Dan semalam semasa membelek-belek pisi, ibu jumpa catatan tersebut. Lebih detail dari catatan yang mula-mula, sebab dah lupa. Jadinya untuk kenangan dan pengajaran kita semua(ibu tahu kawan-kawan ibu ada yang baca belog ni), ibu titipkan di sini....semoga apabila kalian menjadi Tetamu Allah kalian bersedia dari segi mental dan fizikal...

Cumanya kalau dimasukkan catatan setiap hari ke dalam belog ni macam boring la pulak kan? Jadi ibu summarize kan aje...semoga sesiapa yang membaca mendapat manfaat dan syafaat. Jika ada yang terkurang atau ter'aib, ampunkan ibu, ibu hanya manusia biasa yang sentiasa membuat silap dan salah...


__________________________________________________________

Perjalanan : Catatan Wukuf di Arafah

"Haji itu adalah Wukuf di Arafah"
(Sabda Rasullah saw dari riwayat Termizi & Abu Dawud)

Lagi 3 hari sebelum keberangkatan ke Arafah, kami di beri taklimat tentang do's and don'ts di padang Arafah. Berkali-kali juga Umi(ustazah masa pakej) mengingatkan waktu wukuf, jangan tidur, jangan bersembang, dan banyak lagi 'jangan'nya….

Berkali-kali juga Umi pesan sebelum berangkat ke Arafah, bermaaf-maafan dengan rakan sebilik, dengan ibu bapa dan utamanya dengan suami. Jangan terkejut jika di sana macam-macam kejadian di luar jangkaan dan jangkaun kita berlaku. Di Malaysia, pantang berpisah tetapi di sana ujian Allah Taala ada yang hampir berpisah. Dengan rakan sebilik tidak bertegur sapa sebabkan bilik air sahaja. Takpun sebab aircond, ada yang nak, ada yang tak nak, takpun sebabkan lampu, tv dan macam-macam lagi. Kalau ikutkan logic, takkan sampai macam tu sekali.

Alhamdulilah, kami sebilik seramai 6 orang seperti adik beradik, itulah doaku semasa sebelum berangkat menunaikan haji. Seorang demam yang lain akan terasa dan sentiasa mengambil berat. Bilik air yang satu pandai-pandailah kami membahagikan siapa dulu dan siapa kemudian. Dan sehingga sekarang kami berenam sentiasa bertanya khabar.

Lagi 3 hari kami akan diperhitungkan, kata Umi. Di Arafah seolah-olah seperti di Padang Masyrah. Semuanya berkumpul berkain ihram, putih seperti di kapan. Kecut perut mendengarnya. Apakah balasan dan dugaan yang Allah Taala turunkan padaku di sana nanti? Sempatkah aku? Dapatkah aku? Macam-macam cerita yang singgah di telinga, ada bas yang rosak jadi tak dapat nak wukuf. Jika tak dapat wukuf, bermakna tidak dapat hajinya. Ada yang kata tiba-tiba sakit tanpa sebab, ada yang kata setengah-setengah jemaah yang jadi gila. Ada yang tidak mendapat menfaat semasa wukuf, tetiba mengantuk, tidur dan sebagainya.

"Ya Allah janganlah kau mempersia-siakan perjalanan kami, ya Allah. Jangan masukkan kami ke dalam orang-orang yang rugi"

"Permudahkan urusan haji kami, permudahkan perjalanan kami Ya Allah"

Pagi tanggal 6hb Disember 2008, kami bersiap-siap untuk ke Arafah. Seminggu sebelum ke Arafah, aktiviti ibadah dikurangkan bagi menjaga kesihatan memandangkan jemaah semakin ramai. Solat subuh dilakukan di dalam bilik. Tetapi pagi itu sebelum berangkat, aku mengajak suami ke Masjidilharam, kelihatan ramai jemaah Negara lain sedang bersiap menaiki bas masing-masing. Semuanya berihram berkain putih, itulah satu pandangan yang cukup menusuk hati bila melihat semua jemaah putih bersih. Mungkin inilah pandangan di Padang Mahsyar nanti. Aku bersolat taubat dan hajat di sana, meminta ampun atas segala dosa-dosa yang telah lalu. Aku meminta supaya perjalanan haji kami dipermudahkan Allah Taala dan yang paling utama supaya ibadah haji kami diterima oleh Allah Taala. Aku melihat Kaabah seolah-olah itulah yang terakhir aku dapat melihat Kaabah. Ya mana tahu…mungkin itu yang terakhir.

Umi mengingatkan sebelum berniat ihram Haji, perlu mengucap 2 kalimah syahadah seolah-olah kita akan mati pada waktu itu. Selesai solat ihram di dalam bilik, memandangkan selepas dzohor kami perlu berangkat, aku menadah tangan sambil mengucap 2 kalimah syahadah dengan perlahan. Tak dapat di tahan hati dan air mata ini. Jatuh berderai-derai airmataku bila kusebut nama Allah dan kekasih Allah. Tak dapat digambarkan hati ini, sedih, takut, sayu dan macam-macam lagi. Kesemua kami berenam menanggis meminta maaf dan berpelukan…Angah, Atam, Kak Nor, Kak Julie dan Kak Ain, kalian memang yang terbaik.

Alhamdulilah perjalanan aku dan suami (kami berpisah dengan rakan sebilik) berjalan lancar. Kami bertalbiah sepanjang 45 minit perjalanan. Walaupun terdapat sedikit dugaan semasa menaiki bas, tapi kupendam sahaja perasaan itu. Biarlah orang buat kita jangan kita buat orang, itulah peganganku di sana. 
Di Arafah, kami di tempatkan seramai 200 orang satu khemah yang besar. Kami disediakan tilam, bantal dan selimut. Setiap jemaah telah diberi nombor tilam di Arafah dan Mina sebelum ini. Di dalam khemah kami, terdapat batang pokok di mana kami boleh nampak langit.


Tempatku agak ke dalam sikit, jadi agak sukar untuk masuk ke dalam, jadi kami sepakat membuka laluan di tepiku supaya senang kami nak keluar tanpa menganggu jemaah lain. Subuh 7hb Disember, 2008 satu kejadian yang tidak diduga berlaku, khemah kami nyaris terbakar. Yang peliknya ada jemaah-jemaah lain di dalam khemah acuh tak acuh apabila kami menjerit-jerit 'api-api' 'keluar-keluar' waktu itu. Rupa-rupanya mereka ingatkan khemah kali api, setelah aku beritahu khemah di Arafah bukannya kalis api barulah mereka beristifar panjang. Hmmm nasib baik tak arwah di Arafah…


Kejadian nyaris terbakar menjadi topic hangat masa tu, tapi alhamdulilah tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Malah ia menjadi bahan lawak kami pula bila mengenangkan kakakku seorang ini sempat menyelamatkan kain baju yang bergantung dan ada pula kakak seorang lagi bersiap-siap pakai baju masa jemaah sibuk menyelamatkan diri, api dah padam baru dia keluar khemah sambil bawak begnya…


Selesai sarapan, aku mengambil peluang untuk tidur sebentar sebelum masuk wukuf (waktu wukuf adalah masuk dzohor sehinggalah waktu maghrib ). Dalam keadaan yang panas dan bising aku dapat tidur selama 2 jam, nyenyak dan lena tanpa gangguan. Aku mengambil keputusan untuk solat dzohor di luar khemah walaupun ramai yang kata jemaah perempuan afdal solat dalam khemah. Tapi aku tak sedap hati, aku bertekad nak solat di luar, nak duduk di luar. Keputusanku diikuti oleh Kak Nor, Kak Julie dan Angah.


Masuk dzohor, ustaz Zaine membaca khutbah Arafah. Sayu dan sebak semasa mengaminkan doa wukuf di Arafah. Air mata memang turun tanpa henti. Apatah lagi mendengar tangisan ustaz Zaine sendiri meminta keampunan dari Allah Taala.


"Ya Allah, ampunkan dosa kami, kami datang Ya Allah, kami datang dari jauh menyahut seruanMU Ya Allah. Terimalah haji kami, terimalah haji kami terimalah haji kami, dapatkanlah kami haji yang mabrur Ya Allah, haji yang menjanjikan syurga, haji yang diterima olehMU Ya Allah."


Catatan seterusnya agak teragak-agak untuk kutulis di sini, tetapi aku berhajat untuk memberitahu kalian semoga kalian dapat merasai kehebatan dan kekuasaan Allah Taala yang tiada tandingannya. Maafkan diriku jika tulisan ini akan membangkitkan rasa kurang senang di hati rakan-rakan. Dan aku memang tiada niat untuk merasa riak dan bongkak.


Semasa kami makan tengahari, tiba-tiba Ustazah Azuhra di depanku mendongak melihat ke langit. Dan terus bangun, angah disebelahku berpaling untuk melihat apa yang ustazah lihat. Senyap sunyi ketika itu, ramai jemaah yang mendongak ke langit. Ada apa ya? Tetiba-tiba Angah menjerit "Ya Allah, Angah nampak Intan, angah nampak"


Cepat-cepat aku bangun….


MasyaAllah…SubhanAllah…Allah…Allah…Allah…


Bederai lagi airmataku, sungguh. Ya Allah, Kau tunjuk kekusaanMU padaku hamba yang hina ini, Ya Allah. Siapalah diriku ini berbanding dengan yang lain. Ya Allah ……Aku manusia hina, aku penuh dengan dosa…aku tidak layak sebenarnya melihat kebesaranMU…tetapi Ya Allah Kau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani….Kau pilih diriku untuk melihat kebesaranMU itu Ya Allah…


Di langit, dengan terang dan jelas terbentuk kalimah Allah 'Lailahaillah' dengan gumpalan awan.

Sambungan......Perjalanan : Catatan Mabit di Muzdalifah

Salam
Ibu Muhsina

No comments:

Post a Comment