Thursday, November 10

Perjalanan : Catatan Mina


Mina

Pukul 7.00 pagi barulah kami dapat menaiki bas. Perjalanan ke Mina tidaklah jauh tapi sesakan jalan menuju ke Mina membuatkan perjalanan yang mengambil masa hanya 1/2 jam menjadi sejam. Tambahan pula, bas kami tersesat dan pemandu bas tidak mahu menghantar kami betul-betul di depan khemah.

Kulihat suami sudah tersenguk-senguk. Keletihan yang teramat sangat agaknya. Sebenarnya tempat duduk disebelahku adalah untuk suami tetapi seorang jemaah yang seakan-akan kurang sabar terus 'merampas' ruang tersebut. Suami memberi isyarat mata…biarkan sahaja. Jadi aku diamkan sahaja. Sedih aku melihat jemaah-jemaah yang seolah-olah lupa yang kami ini belum lagi selesai Hajinya. Dan kami ini masih berada di Tanah Haram. Adab dan sifat tawadhak perlu sentiasa ada supaya perjalanan Haji itu dipermudahkan Allah.

Ada juga setengah-setengah jemaah yang meletak beg mereka diatas tempat duduk tanpa menghiraukan ada jemaah yang terpaksa berdiri. Tapi mungkin itu adalah sebahagian dari dugaan dan cabaran yang perlu kami semua tempuhi. Mungkin Allah Taala ingin menduga tahap kesabaran kami.

Sampai di Mina, sekali kami dihantui suasana kelam kabut mencari khemah. Masing-masing ingin cepat sehingga ada yang tolak menolak. Aku ditempatkan khemah 'J' bersebelahan dengan suami (kurang ingat pula huruf apa).  No tilam telahpun diberi sebelum kami berangkat. Aku lihat kakak-kakak sebilik belum ada lagi jadi aku bercadang untuk melihat-lihat sekeliling.

Di sebelah khemah kami, ada tempat buffet untuk sarapan, makan tengahari dan malam. Terdapat peti sejuk yang mempunyai pelbagai air kotak berjus mangga dan oren. Selain itu, para jemaah juga dihidangkan dengan air panas, Nescafe dan teh.

Sepanjang berada di bumi Mina, hanya ada satu perkara yang membuatkan ramai jemaah haji wanita mengambil keputusan membuat Nafar Awal. TANDAS. (Nafar Awal bererti beredar meninggalkan Mina lebih awal iaitu bermalam hanya dua malam dan melontar hanya dua hari iaitu 11 dan 12 Zulhijjah)

Nisbah tandas yang disediakan adalah 1 : 98. Sebelum ke Mina kami telah diingatkan berkali-kali oleh Umi berkenaan tandas di Mina. Memang agak mencabar dan penuh dengan dugaan. Malah kadang-kadang jemaah wanita lupa dengan diri mereka sebagai seorang wanita sehingga boleh mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya sehingga didengari oleh jemaah lelaki.

Kami perlu beratur agak panjang untuk ke tandas, kadang-kadang ada jemaah haji wanita yang sudah berumur tidak sanggup lagi menahan diri dan melepaskan hajat di luar. Kesian aku tengok. Padaku kalau yang beratur itu berumur, berikan sahajalah dia melepaskan hajatnya. Malah aku pernah melihat sendiri, seorang jemaah yang agak muda memarahi seorang jemaah wanita tua tanpa belas kasihan hanya semata-mata jemaah wanita tua itu memotong gilirannya di paip air mengambil wudhuk.

"Kalau tak kerana akak ni dah tua, mau saya hempuk akak…"

Aku cukup ingat lagi kata-kata itu, SubhanaAllah, kenapa macam tu sekali. Apa salahnya…kadang-kadang kita kena faham, khemah pakej berkongsi dengan jemaah Muasasah yang rata-ratanya terdiri dari jemaah yang telah berumur dan uzur. Difahamkan keadaan khemah mereka dan tandas 2x ganda lebih teruk, jadi apa salahnya mereka berkongsi nikmat sikit dari kami yang berpakej. Sedih aku lihat jemaah tua itu, terkulat-kulat dia dimarahi. Kesemua jemaah di situ hanya mendiamkan diri, tidak berani berkata apa-apa. Yalah kami kena ingat kami berdiri di mana, masih di Tanah Haram. Ada seorang jemaah bercerita denganku yang ada seorang jemaah berumur sakit di khemahnya, bila ditanya kenapa, dia tidak makan dan minum, sebabnya dia tidak mahu ke tandas. Jadinya beliau jatuh sakit, dehydrated.

Lain pula ceritanya bila waktu makan, beratur tetap beratur tapi jemaah-jemaah yang terdahulu lupa agaknya yang ramai rakan-rakan yang tidak jamah makanan lagi di belakang, jadinya jika jemaah lambat, jangan mimpilah ayam seketul atau ikan seekor, hanya tinggal kuah sahaja. Kami berenam sepakat hanya seorang dua yang beratur mengambil lauk, yang lain, siap-siapkan tempat tidur atau mengambil air minum. Kemudian kami makan bersama-sama, malah kadang-kadang kami mengajak jiran-jiran sekhemah kami jamah bersama-sama.

Makanan di Mina dimasak oleh pihak Muasasah Arab, faham-faham sahajalah menunya dan cara masak yang agak berlainan. 3 hari di Mina aku tidak boleh makan makanan rempah mereka, mesti aku mengalami masalah sakit perut dan cirit birit. Jadi aku mengambil keputusan untuk makan roti sahaja bagi mengalas perut. Ada seorang kakak di depan tilamku, langsung tidak boleh menjamah apa-apa pun, hanya sekeping dua roti sebabnya beliau terlepas cakap 'Tak lalu nak makan'…kesian. Di Tanah Haram, perlu kita sentiasa berhati-hati dengan tutur kata dan perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita cakap, itulah yang kita dapat.

Salah seorang ustaz pakej kami, Ustaz Razak menguar-uarkan cadangan beliau untuk berjalan kaki pulang ke Mekkah. (Mina ke Mekkah dalam 10 km). Ramai jemaah yang ingin mengikuti beliau termasuk aku dan suami. Jadinya apabila rombongan melontar Jamrah Aqabah pergi melontar selepas maghrib, kami suami isteri tunggu di khemah sehinggalah rombongan berjalan kaki ke Mekkah dipanggil selepas isyak.

Khemah kami di tempatkan di Muassin, 3.5km dari kawasan Jamrah. Di kawasan jamrah terdapat teksi dan bas untuk ke Mekkah dengan bayaran yang agak tinggi. Dan sepanjang perjalanan ke Mekkah, jika berjalan kaki, terdapat terowong yang panjang.

Selepas isyak kami berkumpul di depan Maktab 81, kemudian bertalbiah ramai-ramai untuk melontar di Jamrah Aqabah untuk melepaskan ihram. Dikalangan jemaah yang pergi ada yang agak berumur, walaupun dinasihatkan oleh ustaz razak supaya jangan membawa jemaah yang uzur dan kurang upaya tapi ada jemaah yang degil membawa bersama ibu bapa mereka. Sesampai di jamrah, suasana agak kelam kabut dengan jemaah-jemaah dari negara lain. Ada yang memekik, ada yang menjerit dan paling kesian ada jemaah yang tersalah melontar batu di jamrah. Sepatutnya jamrah yang pertama dilontar adalah Jamrah Aqabah, jamrah yang paling besar, selepas itu, masuk hari kedua baru ketiga-tiga jamrah Ula, Wusta dan Aqabah.

Keadaan di Jamrah Aqabah agak bersesak dengan jemaah yang kadang-kadang melontar selipar bukannya batu-batu yang kecil. Mungkin pada hari pertama, aku teragak-agak untuk melontar sambil membaca doa. Jadi kami sama-sama bersesak-sesak sehingga satu ketul batu singgah mengenai kepalaku. Sakit juga. Selesai melontar aku cepat-cepat keluar dari himpunan manusia yang seolah-solah sudah kena rasuk. Selesai melontar semasa berjalan menuju ke jalan keluar aku terperasan yang Jamrah disebelah hujung kosong, tiada jemaah yang bersesak. Barulah aku teringat dengan teknik-teknik melontar yang pernah aku baca di dalam Buku Travelog yang di tulis oleh Prof Kamil.

Oleh itu, semenjak dari hari itu, bila melontar kami akan pergi ke hujung Jamrah Memang selesa. Tanpa bersesak-sesak. Tiada batu yang singgah di kepalaku dan tiada selipar yang melayang. Cukup selesa sambil membaca doa, aku lupa bunyi doanya tapi yang aku ingat pesanan ustaz dan ustazah, setiap kali melontar niatlah perbuatan dan perangai kita yang buruk itu terlontar sama ke dalam jamrah….


p/s: Ada satu lagi catatan...lepas tu abes. Lepas abes tu, tak ingat dah kalau nak dicatat balik....

Salam
Ibu Muhsina

No comments:

Post a Comment