Monday, July 22

Lailatul Qadar & Lailatul Jaizah

Hari ini hari ke 14, lagi 15 hari kita menyambut Syawal. Entah ada atau tidak menyambut Ramadan tahun depan, masih dalam ilmu Allah.

Sepatutnya entry ini di buat sebelum bulan Ramadan haritu, takpun awal-awal Ramadan...tapi takpela, ibu nak kongsi Al-kisah disebalik Ramadan. Hayati betul-betul Maha Suci Allah, Maha Penyayang Allah terhadap kita..

Jadi jangan dok tengok TV cerita melayu je, takpun buat kuih biskut tak hengat sampai bulan yang penuh barakah ini berlalu macam tu je...

Entry di bawah di ambil dari http://reincentre.blogspot.com/2010/08/lailatul-qadar-lailatul-jaizah.html tapi dipotong sedikit untuk memberi fokus hanya pada 2 malam utama : 

Lailatul Qadar dan Lailatul Jaizah

Aik...selalu kita dengar Lailatul Qadar. Apa pulak Lailatul Jaizah ni?

ok...jom baca...
___________________________________________________________________

Insya-Allah, akan tibalah 1 Syawal untuk umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa dalam Ramadan. Sebagai hadiah kemenangan orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadan, Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Aidilfitri di mana Allah SWT menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Hazrat Ibnu Abbas r.a berkata bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

"Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, satu angin akan bertiup dari bawah Arasy yang dinamakan 'Muthirah'.

Lalu bergeseranlah daun-daun pokok-pokok syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga, maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu daripada itu sebelumnya.

Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudian menyeru,

"Adakah sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah SWT mengahwinkannya dengan kami?"

Kemudian mereka berkata lagi, "Wahai Ridhwan penjaga Syurga! Malam apakah ini?"

Dia akan menjawab kepada mereka dengan "Labbaik!" kemudian dia berkata:

"Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadan. Dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad."

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, Allah SWT akan berfirman:

"Wahai Ridhwan! Bukakanlah pintu-pintu syurga dan wahai Malik tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa daripada umat Ahmad. Wahai Jibrail! Turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat-sangat degil lalu ikatlah mereka supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad kekasih-Ku."


Baginda bersabda lagi: "Allah SWT akan memerintahkan seorang penyeru pada setiap malam dari Ramadan supaya dia menyeru tiga kali,

Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Allah mengurniakannya?


Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya Allah menerima taubatnya?


Adakah sesiapa yang ingin memohon keampunan supaya Allah mengampuninya?

Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada si kaya yang tidak mungkin akan miskin, yang akan membayar hutangnya sepenuh-penuhnya tanpa dizalimi."


"Pada waktu berbuka puasa pada setiap hari dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan sejuta jiwa dari neraka yang kesemuanya telah ditentukan untuk memasuki neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan pada hari itu sebanyak mana yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehingga ke akhirnya.

"Apabila berlaku Lailatul Qadr, Allah SWT akan memerintahkan Jibrail a.s supaya turun bersama satu kumpulan malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Dia akan memacak bendera itu di atas Kaabah.
Jibrail a.s mempunyai seratus sayap. Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga kedua-dua sayapnya akan menutup dari timur ke barat. Kemudian pada malam tersebut Jibrail akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, bersolah atau berzikir. Malaikat-malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar. Apabila fajar, Jibrail a.s akan menyeru segala malaikat, "Sekarang berangkatlah!"


Malaikat-malaikat itu pun akan bertanya, "Wahai Jibrail apakah yang Allah SWT telah lakukan terhadap keperluan-keperluan orang-orang beriman dari umat Muhammad SAW?"

Dia akan menjawab, "Allah SWT telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia."

Maka kami pun bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah?"

Baginda bersabda, "Lelaki yang berterusan minum arak, dia yang mendurhakai kedua-dua ibu bapanya, dia yang memutuskan silaturrahim dan musyahin(orang yang memutuskan perhubungan keluarga)."

Apabila tiba malam Hari Raya Aidilfitri - malam itu dinamakan di sisi penduduk langit sebagai Lailatul Jaizah. Pada pagi hari raya itu, Allah SWT menghantar para malaikat ke setiap tempat. Lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka jalan dan lorong.

Mereka akan menyeru dengan suara yang didengari oleh semua apa yang diciptakan oleh Allah SWT kecuali jin dan manusia.

Mereka berkata, "Wahai umat Muhammad! keluarlah kepada Tuhan yang Maha Pemurah yang mengurniakan dengan banyaknya dan memaafkan dosa-dosa besar,"

Apabila mereka tiba di tempat sembahyang raya, Allah SWT akan berkata kepada para malaikat,

" Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah melakukan kerjanya?"

Baginda bersabda, "Para malaikat akan berkata, Wahai Tuhan kami dan Pemilik kami, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya."

Lalu Allah SWT berfirman: "Kerana itu, Aku telah menjadikan kami sebagai saksi. Wahai malaikat-Ku! Sesungguhnya Aku telah jadikan balasannya kepada mereka kerana puasa mereka di bulan Ramadan dan berdirinya mereka (beribadat kepada-Ku di dalam Tarawih) ialah keredaan-Ku dan keampunan-Ku!"


Allah SWT akan berfirman lagi: "Wahai hamba-hamba-Ku! Pohonlah dari-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan kehebatan-Ku, tidaklah kamu memohon sesuatu pun dari Ku pada hari ini di dalam perhimpunan kamu ini untuk kepentingan akhiratmu kecuali Aku akan menunaikannya dan tidak juga untuk kepentingan duniamu kecuali Aku akan memandang untuk kebaikkanmu. Demi kemuliaan-Ku, Aku akan tutupkan keaiban-keaibanmu selama mana engkau mengambil berat terhadap-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan demi kehebatan-Ku, tidaklah Aku akan menghinakan kamu dan tidak juga Aku akan memalukan kamu di kalangan orang-orang yang berdosa (dan orang-orang kafir) kembalilah kamu di dalam keadaan kamu telah diampunkan. Sesungguhnya kamu telah meredakan daku dan Aku juga telah meredakan kamu"

Para malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan apa yang Allah telah berikan pada umat ini apabila mereka telah selesai daripada puasa di bulan Ramadan. (Hadis riwayat Baihaqi).

Begitu besar kelebihan Ramadan hingga 1 Syawal untuk menyambut Aidilfitri dan betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas.

Dan sepatutnya umat Islam merayakannya dengan ketakwaan dan keimanan selepas berjaya keluar dari madrasah Ramadan, kerana antara hasil berpuasa yang diharapkan ialah dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Surah al-Baqarah: 183 bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Justeru, cara meraikan Aidilfitri juga perlu melalui jalan orang-orang yang bertakwa sebagaimana ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.


Ikhlas
Ibu Muhsina



Wednesday, July 17

Musim peperiksaan

Musim peksa...

UPSR
PMR
SPM

Along akan menghadapi UPSR tahun ini bermakna raya tahun ni tak ada la best sangat, bukan pada dia aje, dengan ibu sekali rasa agak tersekat di kerongkong raya tahun ni

Mungkin rendang nasi impit tak seenak yang biasa di makan tapi mungkin la kan, mungkin juga ambik tak kisah je, lantak kamu la..tapi lantak -lantak pun anak kita. buah hati kita, pengarang jantung kita, macam mana nak buat tak tahu kan?


Wahai Along, segala pengorbanan telah ibu buat untukmu nak, dihantar tuition, diikut segala macam kerenah dan kehendak, belajarlah untuk masa depanmu, bukan untuk ibu tapi untuk dirimu nak...

Dan sini ibu nak share DOA semasa anak kita tengah hadapi Exam...takkan ibu nak menung je kan mengenang nasib. Doa seorang ibu insyaAllah dimakbulkan Allah swt.


Jadi dari menung panjang tu, meh kita doa meminta pertolongan dari Allah swt memberi ketenangan pada anak kita yang sedang Exam tu..

Doa untuk Anak menghadapi peperiksaan

1. Al Fatihah 7 kali
2. Selawat 7 kali
3. Subhanallah 44 kali
4. Alhamdulilah 44 kali
5. Allahu Akbar 44 kali
6. Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali

Kemudian teruskan dengan bacaan doa :


"Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum, Ya Rahman Ya Rahim, Ya Latif, Ya Jabbar, Ya Khaliq, Ya Allah permudahkanlah anak-anak kami di dalam urusan mereka dalam menimba ilmu di atas seruan dan perintah-MU. Tenangkanlah hati mereka untuk menerima ilmu-MU, lapangkanlah jiwa mereka untuk mengharungi ujian-MU dan berkatilah mereka dengan rahmat-MU. Amin Ya Rabbalalamin"



Doa ni bukannya nak minta dibuka langit dan dihempuk dengan ilmu tiba-tiba boleh jawab peksa, tapi doa ini lebih kepada memberi ketenangan pada anak untuk menjawab, tapi tak tahu la kan...Allah lebih mengetahui, Allah Maha berkuasa atas segala kehendakNya. Kita sebagai hamba, sebagai ibu kena sentiasa berdoa-doa-doa untuk kesejahteraan anak-anak...rumahtangga dan kehidupan supaya diakhir perjalanan ini kita pergi dengan tenang dan beriman...

Salam ikhlas
Ibu Muhsina



Tuesday, July 9

Ah Lan Wah Sahlan Ya Ramadan




Salam Ramadan pada semua...
Selamat menjalani ibadah puasa dan solat terawikh. Bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat islam. Semoga kita berterusan dengan ibadah yang dijalani selepas ini

Dikesempatan ini juga, ibu ingin menyusun jari memohon maaf sekiranya ada kekhilafan pada diri

Selain itu, marilah kita sama-sama berdoa demi kesejahteraan umat islam di seluruh dunia terutamanya saudara-saudara islam kita di Rohinya, Palestin, Syria dan yang terbaru kekacauan di Mesir...semoga mereka dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan aman dan sejatera.

Tahun ini pejabat ibu menganjurkan 'Festival Ramadan', ibu perlu bertugas sekian-sekian tarikh jadinya memang ibu will miss all the fun of berbuka bersama dengan abah along angah achik dan adik. Contohnya malam ni, along ada tuition, so ibu kena tinggalkan dia dengan abah. Apa dan macam mana mereka berbuka, masih dalam ilmu Allah. Kalau difikir mahu taknak bertugas malam ni...

So jika anda, anda dan anda di luar sana, mencari-cari tempat untuk berbuka dan bersolat di Masjid...silalah ke Festival Ramdan kami..



Salam sayang
Ibu Muhsina